fb fb fb fb fb

Peningkatan perlombongan emas haram di Brazil akibatkan kemusnahan Amazon

(Foto bertarikh  28 Ogos 2019, pemandangan dari udara kem perlombongan emas haram Esperanca IV,
berhampiran wilayah pribumi Menkragnoti di Altamira, Para Brazil, di lembangan Amazon / AFP)

RIO DE JANEIRO, 7 September- Kenaikan mendadak harga emas telah mendorong lonjakan perlombongan haram di Brazil, kebanyakannya di hutan hujan Amazon.

Demikian menurut satu kajian yang diterbitkan pada Selasa.

Pengeluaran emas di Brazil, pengeluar ke-14 terbesar dunia tahun lalu, telah melonjak sejak wabak COVID-19 mendorong harga pasaran antarabangsa ke paras tertinggi.

Daripada 112 tan emas yang dihasilkan di Brazil tahun lalu, sekurang-kurangnya tujuh peratus adalah haram dan 25 peratus berpotensi menyalahi undang-undang, menurut kajian dari Universiti Persekutuan Minas Gerais (UFMG).

“Dari 2020 hingga 2021, terdapat peningkatan sebanyak 44 peratus dalam jumlah emas haram yang dihasilkan,” kata kajian itu.

Trend itu pada dasarnya berterusan dan tidak berubah dalam enam bulan pertama 2022.

Keuntungan lumayan memacu lonjakan emas di Amazon Brazil, di mana jumlah penebangan hutan untuk perlombongan mencatatkan rekod 121 kilometer persegi (47 batu persegi) tahun lepas, menurut pemantauan satelit oleh agensi angkasa negara, INPE.

Kajian itu mendapati sekurang-kurangnya 23 peratus daripada penebangan hutan perlombongan di Amazon, adalah kawasan simpanan Orang Asli, kawasan pemuliharaan dan tanah lain yang dilindungi secara rasmi.

Pelombong haram yang mempunyai kaitan dengan jenayah terancang telah menyerang penduduk Orang Asli dengan ganas di beberapa kawasan, dan kajian menunjukkan merkuri yang mereka gunakan untuk memisahkan emas daripada mendapan turut mencemari sungai.

Kajian itu mendapati sebahagian besar pengeluaran emas haram Brazil, 98 peratus datang dari tiga majlis perbandaran di negeri utara Para, menyaksikan kumpulan Orang Asli Kayapo dan Munduruku terjejas teruk.

Pendakwa raya persekutuan menggesa kerajaan pimpinan Presiden Jair Bolsonaro, yang berdepan kritikan antarabangsa berhubung pemusnahan Amazon yang semakin pantas, supaya menggunakan kawalan yang lebih ketat terhadap perlombongan emas.

Pendakwa raya menganggarkan kerosakan sosial dan alam sekitar daripada perlombongan emas haram pada 39 bilion reai (AS$7.5 bilion) dari Januari 2021 hingga Jun 2022.

Itu hampir sama dengan jumlah anggaran pendapatan emas Brazil untuk tempoh tersebut, 44.6 bilion reais.

Jumlah hasil cukai daripada perlombongan emas pula berjumlah kurang daripada dua peratus daripada kemusnahan yang terjadi.

"Kemudaratan (daripada perlombongan emas) di Amazon memberi kesan kepada semua orang... tetapi keuntungan yang dijana oleh operasi ini tertumpu kepada segelintir sahaja," kata ketua pengarang kajian itu, jurutera Bruno Manzolli, kepada AFP. -AFP


(Pemandangan dari udara menunjukkan deretan rakit pengorekan dikendalikan oleh pelombong emas haram

di Madeira, anak sungai utama sungai Amazon, di Autazes, negeri Amazonas, Brazil / AFP)

Media Baharu