fb fb fb fb fb

Pemain bola sepak Israel ditahan, disyaki menghasut

Foto hiasan

ISTANBUL, 15 Januari- Seorang pemain bola sepak Israel ditahan selepas disyaki menghasut orang ramai untuk mewujudkan kebencian berhubung insiden "pembunuhan beramai-ramai" Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza semasa perlawanan Divisyen Satu di Turkiye.

Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc berkata siasatan terhadap pemain Israel Sagiv Jehezkel berhubung insiden itu sedang dijalankan.

Jehezkel, 28, meraikan jaringannya untuk pasukan Antalyaspor menentang Trabsonspor dengan catatan "100 hari, 07/10" pada balutan di pergelangan tangan kirinya.

Mesej itu dipercayai merujuk kepada konflik Israel-Hamas yang berlarutan selama 100 hari.

"Pejabat Pendakwa Raya Antalya telah membuka siasatan kehakiman terhadap pemain bola sepak Israel, Sagiv Jehezkel kerana menghasut orang ramai untuk membenci kerana perbuatan kejam yang memihak kepada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel di Gaza,” kata Tunc menerusi platform 'X'.

"Kami akan terus menyokong rakyat Palestin yang tertindas,", katanya.

Beliau mengecam "pembunuhan beramai-ramai" yang berterusan di Gaza.

Sementara itu, Kelab Antalyaspor memaklumkan telah memecat pemain Israel itu kerana telah "bertindak bertentangan dengan nilai negara itu.

Sejak permulaan konflik, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, secara tradisinya menyokong perjuangan Palestin, telah berulang kali menggambarkan Israel sebagai "negara pengganas", dan menegaskan Hamas adalah "kumpulan pembebas".

Konflik Palestin-Israel sejak Oktober lalu, telah meragut hampir 24,000 nyawa penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.-AFP

ROSLINA BINTI DIN