fb fb fb fb fb

Pekerja kilang Volkswagen di Jerman lancar mogok esok

Foto AFP

BERLIN, 1 Disember- Kesatuan sekerja IG Metall mengumumkan bahawa pekerja di kilang Volkswagen (VW) di Jerman akan memulakan mogok pada Isnin, susulan rancangan syarikat itu untuk memberhentikan ribuan kakitangan.

"Jika perlu, ini akan menjadi pertarungan rundingan kolektif paling sengit yang pernah dihadapi Volkswagen," kata kenyataan kesatuan pada Ahad.

Pengeluar kereta yang kini berdepan krisis itu terlibat dalam rundingan tegang dengan kesatuan sejak September selepas mengumumkan cadangan untuk menutup beberapa kilang di Jerman, tempat VW menggaji kira-kira 120,000 pekerja.

Volkswagen terkesan teruk akibat kos pembuatan tinggi di Jerman, peralihan yang perlahan ke kenderaan elektrik serta persaingan sengit di pasaran utama seperti China.

Kesatuan dan majlis kerja VW sebelum ini mengemukakan cadangan untuk menjimatkan 1.5 bilion euro ($1.6 bilion) melalui langkah seperti pemotongan bonus bagi pengurusan dan pekerja.

Cadangan tersebut merujuk kepada usaha mengelakkan penutupan kilang.

Mereka juga mencadangkan pengurangan waktu bekerja di beberapa kilang sebagai ganti kepada kenaikan gaji.

Bagaimanapun, Volkswagen menolak cadangan itu, dengan menyatakan langkah tersebut hanya memberikan "kelegaan kewangan jangka pendek" tanpa menyelesaikan masalah kewangan jangka panjang syarikat.

IG Metall menyifatkan keputusan VW sebagai "sangat dikesali" dan menuduh syarikat itu mengabaikan cadangan konstruktif daripada wakil pekerja.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM