fb fb fb fb fb

PBB isytihar kebuluran di Gaza, pertama di Asia Barat

Foto AFP

ROM, 22 Ogos - Pertubuhan Bangsa Bersatu, (PBB) secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Gaza, yang pertama di Asia Barat.

Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher berkata, berdasarkan statistik Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), kira-kira 500,000 orang sedang mengalami kelaparan melampau.

Menurutnya, kebuluran tidak dapat dielakkan kerana Israel secara sistematik menafikan akses kemasukan bekalan makanan ke Gaza.

Dalam kemas kini terbaru pada Jumaat, IPC memaklumkan, data setengah juta penduduk kebuluran itu diperoleh berdasarkan maklumat yang dikumpul antara 1 Julai dan 15 Ogos.

Jumlah itu dijangka meningkat kepada hampir 641,000 orang -- hampir satu pertiga daripada populasi -- menjelang akhir September.

Laporan itu turut menyebut, hingga 15 Ogos, kebuluran (IPC Fasa 5) -- dengan bukti yang munasabah -- disahkan di kawasan gabenor Gaza dan Gaza City, yang meliputi kira-kira 20 peratus daripada Gaza.

Ia dijangka berkembang ke wilayah Deir el-Balah dan Khan Yunis menjelang akhir September, yang akan meliputi sekitar dua pertiga daripada wilayah Palestin.

Kenyataan itu, bagaimanapun ditolak rejim zionis yang mendakwa kononnya tiada kebuluran di Gaza.

Tel Aviv turut menuduh kononnya data oleh panel IPC itu adalah berdasarkan pembohongan Hamas yang dimanipulasi organisasi yang mempunyai kepentingan tertentu.- AFP

EMMI NORALIZA ADNAN