NEW DELHI, 8 Februari - Perdana Menteri India Narendra Modi, menyatakan bahawa "pembangunan telah menang" selepas parti nasionalis Hindu pimpinannya, Bharatiya Janata Party (BJP), dijangka merampas semula kuasa di wilayah ibu negara, Delhi, dalam pilihan raya tempatan.
"Pembangunan telah menang, tadbir urus yang baik telah menang," kata Modi, ketika proses pengiraan undi masih berjalan.
Ketua menteri Delhi sebelum ini, Arvind Kejriwal,yang juga pemimpin utama pembangkang kepada Modi, disahkan tewas dalam pilihan raya itu.
Menurut keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya India, Kejriwal kalah di kawasan yang ditandinginya kepada calon BJP, mencerminkan jangkaan kekalahan lebih besar bagi partinya, Aam Aadmi Party (AAP), yang telah mentadbir bandar raya besar berpenduduk lebih 30 juta itu selama hampir sedekad.
"Kami menerima keputusan ini dan mengucapkan tahniah kepada BJP," kata Kejriwal dalam satu kenyataan video.
BJP, yang menguasai parlimen India di peringkat nasional, kali terakhir menguasai badan perundangan tempatan Delhi pada 1998. Kemenangan ini dianggap sebagai kejayaan simbolik dan strategik bagi parti Modi.
"Kami tidak akan berkompromi dalam memastikan pembangunan menyeluruh di Delhi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk," kata Modi menerusi media sosial.
Para penyokong BJP yang bersorak kegembiraan menari di luar ibu pejabat parti di New Delhi sambil mengibarkan bendera dan poster Modi ketika keputusan pilihan raya Rabu lalu diumumkan.
Ketika ini, BJP hanya mendahului AAP dengan kelebihan tipis, dengan kira-kira satu pertiga kerusi telah dikira, namun suruhanjaya pilihan raya melaporkan BJP mendahului di lebih dua pertiga daripada 70 kerusi dewan undangan Delhi.
"Kemenangan ini membuktikan keyakinan rakyat terhadap visi kemajuan Perdana Menteri Modi," kata Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, yang juga tokoh utama BJP.
"Keputusan pilihan raya ini menunjukkan rakyat tidak boleh terus diperdaya dengan pembohongan."
Kedudukan Kukuh untuk BJP Kejriwal, yang mula mendapat sokongan sebagai pejuang anti-rasuah sedekad lalu, menghadapi cabaran besar selepas beliau dan beberapa pemimpin partinya dipenjara tahun lalu atas tuduhan menerima rasuah berkaitan lesen arak.
Kejriwal menafikan tuduhan itu dan mendakwa ia adalah usaha politik Modi untuk melemahkannya.
Beliau merupakan antara pemimpin utama blok pembangkang yang ditubuhkan sebelum pilihan raya umum India tahun lalu, di mana BJP mengalami beberapa kekalahan ketara walaupun berjaya mengekalkan kuasa.
Kekalahan Kejriwal di kubu kuatnya meletakkan BJP kembali dalam kedudukan kukuh, kata penganalisis politik dari Pusat Penyelidikan Dasar di New Delhi, Rahul Verma.
"Sekarang nampaknya apa yang berlaku dalam pilihan raya umum hanyalah kelemahan sementara," katanya. "Keputusan ini meletakkan AAP dalam situasi sukar untuk masa depan."
Meskipun kempen pilihan raya berlangsung dengan hebat, isu pencemaran udara yang semakin meruncing di ibu negara tidak banyak dibincangkan. - AFP