NEW YORK, 11 Mac- Syarikat induk Facebook, Meta, sedang menguji cip pertamanya yang direka sendiri untuk melatih sistem kecerdasan buatan (AI); menandakan pencapaian penting dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar seperti Nvidia, menurut dua sumber kepada REUTERS.
Menurut sumber berkenaan, syarikat media sosial terbesar dunia itu telah memulakan penggunaan cip itu secara kecil-kecilan dan merancang untuk meningkatkan pengeluaran secara besar-besaran sekiranya ujian berjalan lancar.
Usaha membangunkan cip dalaman itu adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang Meta untuk mengurangkan kos infrastruktur yang tinggi, selari dengan pelaburan besar dalam teknologi AI bagi merangsang pertumbuhan syarikat.
Salah satu sumber menyatakan bahawa cip latihan baharu Meta adalah pemecut khusus, direka khas untuk tugas berkaitan AI sahaja, menjadikannya lebih cekap tenaga berbanding unit pemprosesan grafik (GPU).
Meta bekerjasama dengan syarikat pengeluar cip berpangkalan di Taiwan, TSMC, untuk menghasilkan cip tersebut.
Meta, yang turut memiliki Instagram dan WhatsApp, menjangkakan jumlah perbelanjaan pada 2025 antara AS$114 bilion hingga AS$119 bilion, termasuk AS$65 bilion bagi perbelanjaan modal yang sebahagian besarnya diperuntukkan untuk infrastruktur AI.- REUTERS