STOCKHOLM, 4 Februari- Lima individu cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di bandar Orebro, Sweden, pada Selasa.
Pihak polis menggesa orang awam menjauhi kawasan tersebut ketika operasi besar-besaran sedang dijalankan.
Gambar dari lokasi menunjukkan kehadiran polis yang ramai, dengan beberapa ambulans dan kenderaan kecemasan berada di luar sekolah.
"Sejauh mana kecederaan yang dialami masih belum dapat dipastikan. Operasi masih berlangsung," kata polis dalam satu kenyataan.
Pada mulanya, pihak polis melaporkan empat individu ditembak, namun angka itu dikemas kini kepada lima, beberapa minit kemudian.
Kes tersebut sedang disiasat sebagai cubaan membunuh, perbuatan khianat serta kesalahan senjata api yang serius.
Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan kejadian atau kekal berada di dalam rumah.
Dalam kemas kini selepas pukul 2.00 petang waktu tempatan, polis menegaskan bahawa bahaya masih belum berakhir dan menyeru agar orang ramai mesti menjauhi lokasi itu.
Pelajar di sekolah berkenaan serta sekolah berhampiran telah dikurung di dalam bangunan "atas faktor keselamatan," menurut pihak polis.
Menteri Kehakiman Sweden, Gunnar Strommer, menyifatkan laporan kejadian sebagai "sangat serius", jelasnya kepada syarikat penyiaran SVT.
"Kerajaan sedang berhubung rapat dengan pihak polis dan mengikuti perkembangan dengan teliti," katanya kepada SVT.
Beberapa media tempatan melaporkan saksi mendengar bunyi yang dipercayai tembakan daripada senjata automatik.- AFP