SYDNEY, 16 Disember- Lima anggota terakhir daripada kumpulan pengedar dadah Australia, "Bali Nine", menyatakan mereka berasa lega dan gembira apabila kembali ke tanah air selepas 19 tahun dipenjarakan di Indonesia.
Kelima-lima lelaki itu yang merupakan yang terakhir dipenjara daripada sembilan pengedar dadah Australia yang ditangkap di Indonesia pada tahun 2005 tiba di Darwin pada Ahad menerusi perjanjian rahsia antara kedua-dua negara.
"Kelima-lima lelaki ini berasa lega dan gembira dapat kembali ke Australia," kata kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak mereka, keluarga mereka, dan peguam mereka.
"Mereka berharap, dapat kembali berintegrasi dan menyumbang kepada masyarakat," tambah kenyataan itu yang diterima pada hari Isnin.
Polis Indonesia menangkap sembilan rakyat Australia itu pada tahun 2005, selepas mendapati mereka cuba menyeludup lebih daripada lapan kilogram heroin dari pulau percutian Bali.
Kes tersebut menarik perhatian dunia terhadap undang-undang dadah Indonesia yang ketat, di mana dua daripada anggota kumpulan itu dihukum mati oleh skuad penembak, manakala yang lain dikenakan hukuman penjara yang panjang.
Lima lelaki yang dibebaskan itu Matthew Norman, Scott Rush, Martin Stephens, Si Yi Chen, dan Michael Czugaj menyatakan penghargaan kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kerana membenarkan mereka pulang.
Sokongan daripada rakan, keluarga, peguam, dan pegawai kerajaan dianggap penting dan sangat bermakna bagi mereka.
Mereka kini memerlukan "masa dan sokongan" untuk menjaga kebajikan diri, menurut kenyataan itu, sambil meminta pihak media dan masyarakat memberikan ruang kepada mereka.
Australia tidak mengumumkan butiran perjanjian dengan Indonesia yang membenarkan pembebasan mereka.
Menurut penyiar awam Australia, ABC, kesemua mereka tidak perlu menjalani hukuman penjara tambahan tetapi secara sukarela bersetuju untuk meneruskan pemulihan mereka.
Perdana Menteri Anthony Albanese pada Ahad menyatakan beliau telah mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia atas belas kasihan yang ditunjukkan dalam membenarkan kepulangan mereka.
"Rakyat Australia ini telah menghabiskan lebih daripada 19 tahun di penjara di Indonesia. Kini tiba masanya untuk mereka pulang," katanya.
Indonesia, sebuah negara majoriti Muslim, mempunyai undang-undang dadah yang paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati bagi pengedar dadah.
Dua pemimpin yang dituduh mengetuai kumpulan "Bali Nine", Andrew Chan dan Myuran Sukumaran, dihukum mati oleh skuad penembak pada tahun 2015 walaupun kerajaan Australia berulang kali merayu.
Pada tahun 2018, Tan Duc Thanh Nguyen meninggal dunia akibat kanser, beberapa bulan sebelum Renae Lawrence dibebaskan selepas hukumannya diringankan.-AFP