SYDNEY, 15 Disember - Lima lagi anggota kumpulan penyeludupan dadah jenis heroin, dikenali sebagai 'Bali Nine', yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2005, telah kembali ke Australia selepas menjalani 19 tahun penjara di Indonesia.
"Kerajaan Australia mengesahkan bahawa warga Australia, iaitu Matthew Norman, Scott Rush, Martin Stephens, Si Yi Chen, dan Michael Czugaj telah kembali ke Australia," kata Canberra dalam kenyataan itu.
"Mereka kini berpeluang meneruskan pemulihan diri dan reintegrasi di Australia."
Kes itu sebelum ini mendapat perhatian dunia apabila dua pemimpin kumpulan tersebut, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran, dihukum mati oleh skuad penembak pada 2015, meskipun ada rayuan berulang dari kerajaan Australia.
Anggota lain, Tan Duc Thanh Nguyen, meninggal dunia akibat kanser pada 2018, manakala Renae Lawrence dibebaskan selepas hukumannya dikurangkan.
Kerajaan Australia menyatakan penghargaan atas kerjasama Indonesia membenarkan kepulangan lima lelaki tersebut atas dasar kemanusiaan.
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengenai perjanjian tersebut, sama ada mereka perlu meneruskan hukuman di Australia.
Kes "Bali Nine" menunjukkan ketegasan undang-undang dadah di Indonesia, termasuk hukuman mati bagi kesalahan penyeludupan.
Tindakan tegas ini menjadikan Bali terkenal sebagai lokasi yang mana warga asing sering ditahan atas kesalahan jenayah dadah.
Terdapat desas-desus dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai kemungkinan kepulangan ahli 'Bali Nine' ke Australia.
Spekulasi berlaku selepas seorang pegawai kanan dari Indonesia mengumumkan bahawa terdapat rancangan untuk memulangkan tahanan dari beberapa negara, termasuk Australia, Perancis, dan Filipina, sebelum tahun ini berakhir.
Perjanjian serupa juga melibatkan Mary Jane Veloso dari Filipina, yang dihukum penjara kerana membawa beg pakaian berisi 2.6 kilogram heroin tetapi mendakwa dirinya diperdaya oleh sindiket dadah antarabangsa. - AFP