ISTANBUL, 15 Disember - Lebih 7,600 pelarian Syria telah melintasi sempadan Turkiye untuk pulang ke tanah air mereka dalam tempoh lima hari selepas kejatuhan kerajaan Bashar al-Assad, menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya, pada Ahad.
Yerlikaya menerusi platform X berkata, seramai 7,621 rakyat Syria 'kembali secara sukarela dari Turkiye' antara 9 hingga 13 Disember.
Turkiye kini menempatkan hampir tiga juta pelarian yang melarikan diri akibat perang saudara Syria sejak 2011.
Dengan kejatuhan Assad, memberi harapan ramai akan kembali ke tanah air.
Menurut angka kementerian, seramai 1,259 pelarian melintasi sempadan pada Isnin, diikuti 1,669 pada Selasa, manakala 1,293 pada Rabu, 1,553 pada Khamis, dan 1,847 pada Jumaat.
Yerlikaya berkata, kapasiti lintasan harian telah ditingkatkan daripada 3,000 kepada antara 15,000 hingga 20,000 dalam tempoh 48 jam selepas kejatuhan Assad.
Turkiye, yang berkongsi sempadan sepanjang 900 kilometer dengan Syria, kini mempunyai lima pusat lintasan aktif dan kini merancang membuka satu lagi di bahagian barat bagi mengurangkan kesesakan.
Dengan sentimen anti-Syria yang semakin meningkat dalam masyarakat Turkiye, Ankara berharap lebih ramai pelarian akan pulang ke negara asal mereka.
Kementerian Dalam Negeri turut memaklumkan sekitar 1.24 juta atau 42 peratus pelarian berasal dari wilayah Aleppo. - AFP