fb fb fb fb fb

Mary Jane Veloso, banduan akhir warga Filipina di Indonesia bakal dihantar pulang

FOTO AFP

JAKARTA, 16 Disember- Seorang banduan wanita Filipina yang dijatuhkan hukuman mati di Indonesia telah dipindahkan ke ibu kota Jakarta sebelum dijangka pulang ke negaranya minggu ini, selepas kerajaan kedua-dua negara menandatangani perjanjian repatriasi bulan ini.

Mary Jane Veloso, 39 tahun, seorang ibu kepada dua anak, ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2010 selepas beg pakaian yang dibawanya didapati mengandungi 2.6 kilogram heroin. Kes tersebut mencetuskan kemarahan di Filipina, dengan ramai yang mendakwa dia diperdaya oleh sindiket dadah antarabangsa.

Seorang wartawan AFP melaporkan bahawa Veloso dibawa keluar dari penjara wanita di wilayah Yogyakarta, Pulau Jawa Timur, pada malam Ahad. Dia kemudian dihantar ke penjara lain di Jakarta, kira-kira 418 kilometer dari Yogyakarta.

Dari Jakarta, dia dijangka akan diterbangkan ke Filipina pada tarikh yang akan ditetapkan.

Pegawai kerajaan Indonesia menyatakan pemindahannya ke Filipina boleh berlaku seawal hari Selasa.

Jurucakap kementerian luar negeri, Roy Soemirat, berkata pihaknya masih belum menerima "maklumat rasmi daripada agensi penguatkuasaan undang-undang mengenai butiran" pemindahan itu.

Kedutaan Filipina di Jakarta belum memberikan sebarang komen.

Veloso dan penyokongnya mendakwa dia diperdaya oleh sindiket dadah antarabangsa. Pada tahun 2015, dia hampir dihukum mati sebelum suspek yang merekrutnya ditangkap, yang menyebabkan penangguhan hukuman.

Dalam wawancara pertama sejak perjanjian antara kedua-dua kerajaan itu, Veloso menyifatkan pembebasannya sebagai satu "keajaiban."

Indonesia, sebuah negara majoriti Muslim, terkenal dengan undang-undang dadah yang sangat ketat dan pernah menjatuhkan hukuman mati kepada warga asing.

Menurut data daripada kumpulan hak asasi manusia KontraS, sekurang-kurangnya 530 orang sedang menunggu hukuman mati di Indonesia, kebanyakannya atas kesalahan berkaitan dadah.

Data Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia pula menunjukkan bahawa 96 warga asing sedang berada di barisan hukuman mati, semuanya atas tuduhan dadah, setakat awal November.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE