fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Greece tingkat perbelanjaan pertahanan dua kali ganda

Perdana Menteri Greece, Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis / Foto REUTERS

ATHENS, 16 Disember- Greece dijangka menggandakan perbelanjaan pertahanannya selepas parlimen negara itu meluluskan belanjawan negara bagi tahun 2025 pada Ahad melalui undi belah bahagian yang dianggap sebagai undi keyakinan terhadap kerajaan.

Dengan 159 daripada keseluruhan 299 undi, belanjawan negara untuk tahun fiskal 2025 telah disahkan, manakala perbelanjaan untuk kementerian pertahanan diluluskan dengan majoriti yang lebih besar.

Perbelanjaan untuk Kementerian Pertahanan negara itu akan meningkat kepada 6.1 bilion euro atau (RM32 bilion) berbanding 3.6 bilion euro atau (RM19 bilion), disebabkan oleh peningkatan penghantaran peralatan pada tahun 2025.

“Berbanding tahun 2019, menjelang 2025, perbelanjaan kesihatan akan meningkat sebanyak 74 peratus, dan perbelanjaan pertahanan sebanyak 73 peratus, menunjukkan keutamaan kerajaan,” kata Menteri Ekonomi dan Kewangan Kostis Hatzidakis pada akhir November ketika membentangkan belanjawan kepada parlimen.

Parti pembangkang utama, PASOK dan SYRIZA, serta Hellenic Solution, telah menyatakan sebelum undian bahawa mereka akan menyokong peningkatan perbelanjaan pertahanan.

Menteri Pertahanan, Nikos Dendias, berkata di parlimen pada Sabtu bahawa perbelanjaan berkenaan penting kerana cabaran yang dihadapi Greece, terutamanya daripada Turki, saingan seteru negara tersebut.

“Adakah perbelanjaan ini terlalu banyak?

"Sesiapa yang berpendirian demikian perlu menjelaskan kriteria yang mereka gunakan. Adakah negara ini diancam?

"Dan dari mana ancaman utama itu datang?” katanya, sambil menyatakan bahawa Turki membelanjakan 26.8 bilion euro untuk persenjataan.

Greece membelanjakan kira-kira tiga peratus daripada keluaran ekonomi tahunannya untuk pertahanan, lebih tinggi daripada kebanyakan negara EU, terutama disebabkan ketegangan jangka panjang dengan Turki.

Pasukan bersenjata Greece mengalami kekurangan dana sebanyak 20 bilion euro semasa krisis hutang negara itu selama sedekad, kata Dendias pada November, ketika beliau mengumumkan penstrukturan semula pasukan pertahanan untuk menggantikan senjata lama dengan dron berdasarkan pengajaran daripada perang Rusia-Ukraine.

Antara perubahan utama dalam penstrukturan radikal itu ialah penciptaan kubah pertahanan antiudara dan antidron yang meliputi seluruh Greece.

“Greece hari ini sedang merangka jalan sendiri dalam mencapai kestabilan dan pertumbuhan di tengah-tengah persekitaran antarabangsa yang tidak stabil,” kata Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis pada Ahad, sambil memuji sokongan daripada kumpulan pembangkang.

Mitsotakis membandingkan cabaran tersebut dengan kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan seperti Perancis dan Jerman, serta Itali, dalam mendapatkan sokongan majoriti untuk belanjawan mereka di tengah-tengah pergolakan politik atau ekonomi.

Perdana Menteri Greece itu juga mengumumkan lima langkah untuk membetulkan operasi bank demi manfaat rakyat.

Antara langkah tersebut ialah penghapusan caj bagi pelbagai transaksi perbankan, termasuk pembayaran bil, serta sumbangan sebanyak 100 juta euro untuk program pembinaan sekolah baharu oleh empat bank terbesar di Greece.

Hatzidakis berkata dalam ucapan penutupnya pada Ahad bahawa apa yang ingin dicapai oleh kerajaan ialah untuk mempunyai sistem perbankan yang sihat di satu pihak, dan di pihak lain, sistem perbankan yang benar-benar berfungsi untuk ekonomi dan masyarakat tanpa membuat rakyat berasa terpinggir daripadanya, atau lebih penting, menjadi mangsa kepada sistem itu.

Krisis kewangan Greece sebelum ini menyaksikan jaminan (bailout) EU dengan syarat langkah-langkah penjimatan yang ketat serta pembaharuan dasar dan struktur.

Hatzidakis turut mengatakan bahawa rakyat Greece telah membayar untuk kelangsungan bank-bank daripada poket mereka sendiri.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD