fb fb fb fb fb

Lebih 400 maut akibat hujan monsun lebat di Pakistan

Kesan kemusnahan akibat banjir susulan hujan monsun lebat yang berterusan sejak seminggu lalu di Pakistan / Foto AFP

ISLAMABAD, 20 Ogos - Hujan monsun lebat yang berterusan sejak seminggu lalu di Pakistan meragut lebih 400 nyawa dan memusnahkan beberapa buah kampung.

Pada Rabu sahaja, lebih 20 mangsa dilaporkan maut, termasuk 11 di wilayah pelancongan Gilgit-Baltistan dan 10 lagi di Karachi.

Mangsa terkorban akibat banjir yang menyebabkan rumah runtuh dan kejadian renjatan elektrik.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) memaklumkan sekolah di Karachi ditutup, manakala jabatan meteorologi meramalkan hujan berterusan sehingga Sabtu.

Ketua Meteorologi Sindh, Amir Hyder Laghari, menyalahkan infrastruktur usang di bandar besar sebagai punca banjir semakin buruk.

"Paip dan sistem pembetungan runtuh, menyebabkan pemandu terperangkap dalam air banjir dan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan," katanya.

Seorang pegawai bencana wilayah, Muhammad Younis berkata, antara 40 hingga 50 rumah rosak di dua daerah.

Sementara itu, Pengerusi NDMA, Inam Haider Malik, menjangka satu lagi gelombang hujan bakal bermula hujung bulan ini.

Sejak Khamis lalu, lebih 350 kematian direkodkan di wilayah pergunungan Khyber Pakhtunkhwa, bersempadan dengan Afghanistan.

Pihak berkuasa bersama tentera kini giat mencari puluhan mangsa yang masih hilang akibat tanah runtuh dan banjir besar. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN