NEW YORK, 2 Oktober- Serangan Israel ke atas Lubnan mengakibatkan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dengan lebih 100,000 orang daripada jumlah itu melarikan diri ke Syria, menurut jurucakap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Xinhua.
Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran bahawa bilangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dijangka meningkat berikutan tentera Israel terus mengeluarkan arahan memaksa orang ramai berpindah.
Sebanyak 30 kampung di selatan Lubnan antara mereka yang terpaksa berpindah susulan arahan yang dikeluarkan antara Isnin dan Selasa, kata Stephane Dujarric, ketua jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Jurucakap itu pada taklimat harian berkata lebih 60,000 orang kehilangan tempat tinggal di utara Israel.
Agensi Pelarian PBB terus meningkatkan tindak balas kecemasan dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dan perlindungan segera dalam tindak balasnya bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal di Lubnan.
PBB dan rakan-kongsinya menyokong tindak balas Kerajaan Lubnan dengan menyediakan makanan, pemakanan untuk kanak-kanak, air dan bekalan penting lain seperti tilam dan kit kebersihan.
Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) telah menyokong hampir 200 pusat perlindungan kolektif yang menempatkan 50,000 orang kehilangan tempat tinggal dengan bekalan penting.
Setiausaha Agung PBB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk segera menyokong permohonan bantuan kemanusiaan kilat bernilai AS$426 juta yang dilancarkan di Beirut, Lubnan, awal hari itu.
"Rakan-rakan kemanusiaan kami berkata bahawa wang ini bertujuan untuk menyokong satu juta orang dengan bantuan kemanusiaan bagi tempoh tiga bulan akan datang," kata Dujarric.
Penyelaras kemanusiaan di Lubnan, Imran Riza, telah memberi amaran bahawa tanpa sumber yang mencukupi, pekerja kemanusiaan berisiko meninggalkan penduduk di seluruh negara tanpa sokongan yang mereka perlukan, tambahnya. -BERNAMA-XINHUA
BERITA BERKAITAN
- Ketua PBB kecam perluasan konflik di Asia Barat
- 55 maut, 156 cedera dalam serangan Israel atas Lubnan
- Israel lakukan serangan di pinggir selatan Beirut
- Konflik Israel - Hezbollah fasa baharu?
- 90 peratus misil mengenai sasaran - Iran
- Pendekatan AS gagal selesai konflik di Asia Barat
- Iran beri amaran serangan lebih dahsyat terhadap Israel
- Ibu pejabat Mossad di Tel Aviv dibom
- Ketua UNICEF 'amat bimbang' situasi kemanusiaan di Lubnan
- Hezbollah sahkan kematian Hassan Nasrallah