fb fb fb fb fb

Lebih 100 ekor paus pilot terdampar di pantai Australia

Lebih 100 ekor ikan paus pilot terdampar di pantai Australia/AFP

SYDNEY, 25 April- Ahli biologi marin bertungkus-lumus menyelamatkan lebih 100 ekor ikan paus pilot, selepas haiwan itu ditemui terdampar di pantai Australia. 

Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Australia Barat berkata 26 ekor daripada paus yang ditemui itu juga telah pun mati.

"Sebanyak 160 ekor paus pilot terdampar di Toby's Inlet, menurut seorang pegawai.

Lokasi itu terletak kira-kira tiga jam perjalanan ke selatan ibu negeri Perth.

"Sepasukan kakitangan berpengalaman termasuk pegawai hidupan liar, saintis marin, doktor haiwan berada di lokasi itu atau dalam perjalanan," kata Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar dalam satu kenyataan.

Pegawai hidupan liar akan cuba 'membimbing' beberapa ikan paus pilot ke perairan yang lebih dalam.

Bagaimanapun, Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Australia berkata bahawa situasi itu biasanya mengakibatkan haiwan yang terdampar di pantai terpaksa dibunuh sebagai tindakan yang paling berperikemanusiaan.

"Kami sentiasa mengharapkan penyelesaian yang terbaik", katanya.

Ikan paus pilot terdampar dalam jumlah yang banyak bukanlah sesuatu yang luar biasa di Australia dan New Zealand.

Pada tahun 2022, kira-kira 500 ikan paus pilot mati terdampar di Pulau Chatham yang terpencil di New Zealand.-AFP

ROSLINA BINTI DIN