ASTANA, 26 Disember- Laporan awal yang mendakwa pesawat Azerbaijan Airlines terhempas di Kazakhstan selepas terlanggar sekawan burung telah ditarik balik oleh pihak berkuasa negara itu dan siasatan lebih mendalam kini dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.
"Kami tidak dapat mendedahkan sebarang hasil siasatan pada masa ini. Semua kemungkinan senario sedang diperiksa dan analisis pakar yang diperlukan sedang dijalankan," kata pejabat Pendakwa Raya Azerbaijan dalam satu kenyataan.
Ia turut memaklumkan bahawa satu pasukan penyiasat yang diketuai oleh timbalan pendakwa raya Azerbaijan telah dihantar ke Kazakhstan dan sedang bekerja di tempat kejadian.
Pesawat Embraer 190 yang dijadualkan terbang dari Baku, Azerbaijan ke Grozny, Rusia dilapor telah terpesong jauh dari laluan asal dengan terbang melintasi Laut Caspian sebelum berputar di sekitar bandar Aktau, Kazakhstan dan akhirnya terhempas.
Tragedi tersebut mengorbankan 38 daripada 67 orang yang berada dalam pesawat. Menurut Kementerian Kecemasan Kazakhstan, seramai 29 orang terselamat termasuk tiga kanak-kanak telah dihantar ke hospital
Salah seorang saksi yang berada di tempat kejadian, Elmira, berkongsi pengalamannya ketika membantu menyelamatkan mangsa.
"Mereka berlumuran darah, menangis dan merayu meminta pertolongan. Saya berjaya menyelamatkan beberapa remaja. Salah seorang daripada mereka berkata, 'Tolong selamatkan ibu saya, ibu saya masih di sana'," kata Elmira, mengenang detik itu.
Azerbaijan Airlines mengesahkan bahawa pesawat tersebut membawa 67 orang termasuk 37 warga Azerbaijan, Kazakhstan (enam), Kyrgyzstan (tiga) dan Rusia (16).
Kementerian Pengangkutan Kazakhstan memaklumkan kotak data penerbangan pesawat telah ditemukan dan kini sedang dianalisis untuk membantu siasatan lanjut.
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev pula mengisytiharkan Khamis sebagai hari berkabung nasional dan membatalkan lawatannya ke Rusia.
"Saya ingin mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka diberikan kekuatan," katanya dalam satu kenyataan media.
Aliyev juga mengarahkan agar langkah segera diambil untuk menyiasat punca kemalangan tersebut. -AFP
BERITA BERKAITAN