fb fb fb fb fb

Pihak berkuasa Mexico rampas lebih 400,000 pil fentanyl

Gambar dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara Mexico, menunjukkan pil fentanyl dan bahan kimia lain yang dirampas dalam sebuah operasi di negeri Jalisco, Mexico/Foto AFP

MEXICO CITY, 26 Disember - Pihak berkuasa Mexico merampas dan memusnahkan lebih 400,000 pil fentanyl, dadah sintetik yang sangat berbahaya, bersama enam tan bahan kimia digunakan untuk memproses dadah tersebut.

Rampasan dilakukan dalam beberapa operasi di negeri Jalisco, kawasan yang dikawal oleh kartel dadah New Generation.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, rampasan itu melibatkan 416,751 pil fentanyl, 7 kilogram (kg) serbuk fentanyl, 990 pil acetaminophen, dan lebih enam tan bahan kimia prekursor daripada 20 jenis yang berbeza.

Semua bahan tersebut telah dimusnahkan.

Mexico kini sedang memperhebat usaha membanteras penyeludupan dadah, terutama fentanyl, selepas menerima tekanan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang akan memulakan penggal kedua pada Januari.

Trump mengancam untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap eksport Mexico jika negara itu gagal menangani isu penyeludupan dadah dan pendatang haram.

Awal bulan ini, kerajaan Mexico turut mengumumkan rampasan lebih satu juta pil fentanyl, yang dianggap sebagai rampasan terbesar dalam sejarah oleh Menteri Keselamatan, Omar Garcia Harfuch.

Fentanyl, dadah sintetik 50 kali lebih kuat daripada heroin, telah menyebabkan puluhan ribu kematian akibat overdosis di Amerika Syarikat.

Mexico pula menjadi laluan utama penyeludupan dadah dengan kebanyakan adalah bahan kimia untuk proses pembuatannya yang datang dari negara China.

Selain Mexico, Trump juga memberi amaran kepada Kanada dan China mengenai tindakan tegas dikenakan jika mereka gagal menangani isu dadah dan migrasi haram. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN