ASTANA, 25 Disember- Sebuah pesawat penumpang milik Azerbaijan Airlines dalam perjalanan dari Baku ke Grozny terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan.
Pihak berkuasa Kazakhstan berkata pesawat berkenaan membawa 62 penumpang dan lima anak kapal, namun hanya 28 penumpang termasuk dua kanak-kanak dilaporkan terselamat sedang dirawat di hospital berdekatan.
Video nahas itu menunjukkan pesawat berkenaan terbakar ketika ia mula menjejak tanah dan kemudian diselubungi asap tebal.
Turut kelihatan penumpang yang berlumuran darah dan lebam akibat pendaratan cemas itu.
Kementerian Kecemasan Kazakhstan dalam satu kenyataan memaklumkan pihak bomba telah memadamkan kebakaran sedang melakukan operasi pencarian mangsa nahas.
Azerbaijan Airlines memaklumkan pesawat dengan nombor penerbangan J2-8243 itu terpaksa melakukan pendaratan cemas kira-kira tiga kilometer dari Aktau di Kazakhstan.
Pihak berkuasa di Kazakhstan berkata, pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian.
Pada masa sama pihak berkuasa Kazakhstan dihantar ke lokasi bagi memastikan keluarga mangsa yang terkorban dan cedera mendapat bantuan.
Kazakhstan juga akan bekerjasama dengan Azerbaijan dalam siasatan itu.
Dalam pada itu badan pemerhati penerbangan Rusia dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan maklumat awal juruterbang disaran untuk melakukan pendaratan cemas akibat terlanggar burung.
Menurut laporan agensi berita RIA Rusia Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev sepatutnya menghadiri sidang kemuncak pada Rabu turut pulang dari Rusia berikutan nahas berkenaan.
Pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov turut merakamkan ucapan takziah dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan beberapa daripada mangsa nahas yang dirawat di hospital berada dalam keadaan serius.- REUTERS