TAIPEI, 26 Disember- Kementerian Pertahanan Taiwan memberi amaran mengenai kesan serius kepada keselamatan negara selepas parti pembangkang meluluskan undang-undang terhadap pemotongan perbelanjaan pertahanan sebanyak T$80 bilion ($2.45 bilion).
Keputusan itu dibuat di tengah-tengah ancaman ketenteraan yang semakin meningkat dari China.
Undang-undang yang diluluskan minggu lalu oleh parti pembangkang, yang memegang majoriti di parlimen, akan mengalihkan dana daripada kerajaan pusat ke pihak berkuasa tempatan.
Langkah itu mendapat tentangan hebat daripada Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah serta ribuan penunjuk perasaan.
Menurut kenyataan kementerian pada Rabu malam, bajet pertahanan bagi tahun depan mungkin perlu dipotong sebanyak 28 peratus, bersamaan T$80 bilion, untuk memenuhi keperluan peruntukan baru.
"Langkah ini akan memberi kesan serius kepada pembangunan kekuatan tentera dan kesiapsiagaan tempur negara.
Peralatan utama tidak dapat dinaik taraf, dan pembayaran untuk barangan yang telah dibeli mengikut kontrak mungkin tertangguh atau dibatalkan," kata kementerian tersebut.
Pemotongan tersebut dijangka menurunkan bajet pertahanan Taiwan kepada kurang daripada 2 peratus daripada KDNK, berbanding 2.4 peratus pada tahun sebelumnya.
Ini dianggap diluar tindakan, apabila negara-negara serantau sedang meningkatkan perbelanjaan pertahanan.
"Bagaimana kita dapat meyakinkan rakan antarabangsa untuk membantu kita pada saat kritikal apabila musuh menyerang?" soal kenyataan kementerian itu.
China, yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya terus meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap pulau itu untuk menegaskan tuntutannya, yang ditolak oleh Taipei.
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara, Joseph Wu, menekankan keperluan untuk perbincangan lanjut berhubung pemotongan bajet ini, sambil memberi amaran bahawa langkah itu boleh membawa kesan serius.
"Ini akan menghantar mesej salah bahawa Taiwan tidak mahu mempertahankan dirinya. Negara-negara yang sehaluan mungkin enggan membantu kita," katanya.
Kabinet Taiwan pada Ogos lalu mencadangkan peningkatan 7.7% dalam perbelanjaan pertahanan kepada T$647 bilion, angka tertinggi dalam sejarah negara itu, untuk memperkukuh kekuatan ketenteraan dengan menambah jet pejuang dan peluru berpandu.
Ketegangan antara DPP dan pembangkang terus memuncak selepas parti pemerintah kehilangan majoriti parlimen dalam pilihan raya Januari lalu.- REUTERS