WASHINGTON, 8 Jun- Aktivis pro-Palestin yang menuntut hentikan perang di Gaza dan sokongan Amerika Syarikat (AS) kepada Israel akan berhimpun di luar White House hari ini, mendorong langkah keselamatan tambahan, termasuk pemasangan pagar antipanjat.
Kumpulan advokasi dan aktivis seperti CODEPINK dan Council on American Islamic Relations berkata, demonstrasi itu dirancang diadakan hari ini yang menandakan lapan bulan perang Israel di Gaza yang membunuh puluhan ribu orang sehingga menyebabkan krisis kemanusiaan dengan kebuluran dan kemusnahan secara meluas.
AS yang juga sekutu utama Israel, menyaksikan protes pro-Palestin selama berbulan-bulan bermula dari perarakan di Washington DC dan perhimpunan berhampiran White House hingga menyekat jambatan dan jalan berhampiran stesen kereta api dan lapangan terbang di beberapa bandar dan kempen di kebanyakan kampus universiti.
Sekurang-kurangnya lapan pegawai meletak jawatan dalam pentadbiran Presiden Joe Biden dengan alasan penentangan mereka terhadap dasar beliau.
Penunjuk perasaan juga mengganggu beberapa acara kempen pemilihan semula Biden.
Biden kini berada di Perancis untuk lawatan rasmi.
"Sebagai persediaan untuk acara hujung minggu ini di Washington DC yang menyaksikan orang ramai berkumpul, langkah tambahan keselamatan awam dilaksanakan berhampiran kompleks White House" kata jurucakap Perkhidmatan Rahsia AS.
Biden dan White House sebelum ini berkata mereka menyokong bantahan aman tetapi bukan kekacauan dan keganasan.
Protes di universiti yang berlaku mengakibatkan polis membuat tangkapan di kampus untuk menyurai perhimpunan terbabit. Aktivis antiperang yang berkhemah di Universiti California, Los Angeles, diserang dengan ganas oleh kumpulan perusuh minggu lalu.
Terdapat juga kebimbangan mengenai peningkatan antisemitisme dan Islamofobia di tengah-tengah konflik di Gaza. - REUTERS