fb fb fb fb fb

Konflik Israel - Hezbollah fasa baharu?

Potret ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah di tengah-tengah kemusnahan kawasan yang menjadi sasaran serangan udara Israel semalaman di Saksakiyeh pada 26 September 2024/ AFP

CYPRUS, 30 September –Gerakan Hezbollah, diketuai Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir bandar Beirut pada 27 September lalu adalah musuh tradisi Israel sejak beberapa dekad lalu.

Berikut rangkuman sejarah berkaitan konflik antara kedua-dua pihak sehingga fasa terkini.

1982: Israel ceroboh Lubnan, kemunculan Hezbollah

Gerakan Hezbollah muncul pada awal 1980-an selepas pencerobohan Israel di Lubnan, iaitu di kawasan Bekaa, timur Lubnan. Penubuhan termasuk aspek kewangan dibantu Kor Pengawal Revolusi Iran.

Pada tahun 1985, Hezbollah mula mendedahkan identiti gerakan mereka dengan mewujudkan pasukan bersenjata sendiri, dikenali sebagai Islamic Resistance atau Al-Muqawama al-Islamiyya dalam Bahasa Arab. Ia pasukan utama juga peneraju dalam memerangi rejim Israel.

Pasukan itu melakukan serangan berani mati, sama ada melibatkan pengeboman kenderaan terhadap tentera Israel dan sekutu rejim South Lubnan Army (SLA), militia Kristian.

1992: Hassan Nasrallah pemimpin Hezbollah

Pada Februari 1992, serangan helikopter tempur membunuh Setiausaha Agung Hezbollah, Abbas al-Musawi. Susulan itu, ketika baru berusia 32 tahun, Hassan Nasrallah dipilih sebagai calon pengganti.

Pelantikan rasmi dibuat setahun kemudian apabila Hezbollah, satu-satunya kumpulan yang enggan menyerah kalah selepas perang saudara 15 tahun Lubnan, berakhir pada 1990.

Israel terus berusaha sedaya upaya untuk menewaskan Hezbollah. Perang besar-besaran tercetus selepas Israel melancarkan operasi dikenali sebagai “Operation Accountability”.

Israel mendakwa tindakan itu juga sebagai reaksi terhadap serangan roket Hezbollah ke atas Israel.

Hassan dilihat sebagai lelaki paling sesuai dan kepimpinannya semakin menyerlah pada tahun 1996.

1996: 'Operasi Grapes of Wrath'

Pada 11 April 1996, Israel gagal mencapai objektifnya. Lantas mereka melancarkan serangan lebih besar dikenali sebagai “Operation Grapes of Wrath”.

Sasaran utama pihak rejim adalah untuk menggagalkan potensi ketenteraan kumpulan Hezbollah, selain menangkis serangan roket ke utara Israel.

Dalam tempoh lebih 17 hari, tentera rejim Israel melancarkan 600 serbuan dan melepaskan lebih 23,000 tembakan membunuh 175 orang di Lubnan, kebanyakan mereka orang awam.

Serangan turut menyebabkan lebih 300,000 terpaksa meninggalkan kediaman.

Komuniti antarabangsa menggesa gencatan senjata, terutama selepas kem pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi tempat perlindungan pelarian di bom. Serangan tersebut menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.

Pada 26 April tahun sama, satu perjanjian ditandatangani, menamatkan operasi Israel di kawasan tersebut.

2000: Israel berundur dari Lubnan

Pada Mei 2000, tentera Israel berundur dari selatan Lubnan, menamatkan pendudukan mereka selama 18 tahun di kawasan tersebut yang dikategorikan sebagai zon ‘keselamatan’; kawasan yang telah meragut 1,000 nyawa Israel.

Susulan itu, Hassan Nasrallah terus dilihat sebagai pejuang utama kemenangan Hezbollah; menuntut hak tanah mereka yang turut memaksa perubahan sikap penduduk Israel.

Tekanan itu juga menyebabkan kerajaan Israel menerima resolusi Majlis Keselamatan PBB pada 1998, menuntut pengunduran segera pendudukan rejim dari selatan Lubnan.

2006: Perang Israel – Hezbollah

Pada 2006, Hezbollah menawan dua tentera Israel di sempadan Israel – Lubnan. Menurut Hezbollah, mereka mahu menukar tahanan itu dengan tahanan mereka di Israel. Namun, tiada penyelesaian malah berakhir dengan peperangan.

Konflik itu berlarutan sehingga Julai dan Ogos; menyebabkan 1,200 kematian di Lubnan, kebanyakannya orang awam, dan 160 orang di Israel, kebanyakannya tentera.

Hakikatnya, Israel gagal mengalahkan Hizbullah, menggambarkan ia sebagai kemenangan Hezbollah.

2023-2024: Perang baharu?

Apabila perang bermula antara Israel dan Hamas selepas serangan mengejut pejuang Palestin di Semenanjung Gaza yang menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, tentera Hezbollah disokong Iran di selatan Lubnan turut melakukan serangan ke atas Israel, tindakan untuk menyokong Hamas.

Selepas hampir setahun berbalas serangan antara rentas sempadan, pada 23 September 2024, Israel telah meningkatkan serangan udara, menyasarkan kedudukan Hezbollah di Lubnan.

Menurut Israel, tindakan itu bagi menamatkan serangan ke atasnya dari selatan Lubnan.

Tentera Israel berjaya membunuh kebanyakan pemimpin kanan Hezbollah termasuk Ketua Hezbollah dalam serangan udara di selatan Beirut. -AFP

 

BERITA BERKAITAN:

ZEHRA BINTI ZAMBRI