fb fb fb fb fb

Hezbollah sahkan kematian Hassan Nasrallah

Allahyarham Hassan Nasrallah/AFP

Beirut, 28 September- Kumpulan Hezbollah di Lubnan mengesahkan pemimpin utama mereka, Hassan Nasrallah telah terbunuh dalam serangan Israel di selatan sini, semalam.

"Sayyed Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hezbollah, telah menyertai rakan-rakannya yang syahid, yang dipimpinnya selama hampir 30 tahun," menurut Hezbollah dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menambah bahawa Hassan dibunuh bersama anggota kumpulan lain dalam serangan kianat Zionis di pinggir selatan Beirut.

Pesawat Israel dilapor membedil selatan Beirut dan kawasan sekitarnya sepanjang malam hingga Sabtu, dalam serangan paling sengit sejak konflik terakhir antara kumpulan itu dan Israel pada tahun 2006.

Sementara itu, Hamas dalam satu kenyataan mengutuk pembunuhan Hassan sebagai tindakan pengecut daripada pengganas Israel.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya agresi Zionis yang barbarik ini, yang menyasarkan bangunan kediaman. Hamas menganggap ia sebagai tindakan pengganas yang pengecut," menurut kenyataan sambil mengucapkan "takziah dan solidariti kepada saudara-saudara di Hezbollah dan Perlawanan Islam di Lubnan atas kesyahidan Hassan."

Dalam pada itu, Kementerian Luar Iran memaklumkan bahawa perjuangan Hassan untuk membebaskan Palestin akan tetap diteruskan.

"Jalan mulia pemimpin, Hassan Nasrallah, akan diteruskan, dan matlamat sucinya untuk membebaskan Quds (Palestin) akan dicapai, Insya-Allah," kata jurucakapnya Nasser Kanani di media sosial X. -AFP

SITI AISHAH MD ISA