fb fb fb fb fb

Israel dapat maklumat awal lawatan Nasrallah ke Beirut sebelum serangan

FOTO REUTERS

MOSCOW, 30 September - Israel telah mendapat maklumat risikan awal mengenai lawatan Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah, ke pinggir bandar selatan Beirut sebelum beliau terbunuh dalam serangan udara, lapor Sputnik yang memetik akhbar Perancis Le Parisien pada Ahad.

Pada Sabtu, Hizbullah mengesahkan bahawa Nasrallah terbunuh dalam serangan udara Israel di Beirut pada Jumaat.

Israel telah dimaklumkan lebih awal pada Jumaat mengenai rancangan Nasrallah untuk melawat kawasan itu, menurut laporan akhbar berkenaan.

Serangan udara yang membunuh pemimpin itu adalah yang terbesar sejak 2006, menurut sumber kepada Le Parisien.

Israel memulakan kempen pengeboman besar-besaran yang dinamakan Northern Arrows di bahagian selatan dan timur Lubnan pada Isnin. Kementerian Kesihatan Lubnan meletakkan angka kematian melebihi 1,500 orang. Hizbullah membalas dengan menembak berpuluh-puluh roket ke arah utara Israel.

Peningkatan ketegangan ini didahului oleh siri letupan alat kelui dan walkie-talkie yang menggegarkan Lubnan dari 17 hingga 18 September, mengakibatkan kira-kira 40 orang terbunuh dan hampir 3,500 orang cedera.

Situasi di sempadan Israel-Lubnan semakin buruk selepas operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza bermula pada Oktober 2023. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF