fb fb fb fb fb

Insiden rempuhan Halloween, ketua polis daerah di Seoul dipenjara tiga tahun

Insiden yang berlaku pada 29 Oktober 2022 itu menggemparkan masyarakat apabila ratusan terkorban ketika puluhan ribu orang menikmati perayaan Halloween di Itaewon/ AFP

SEOUL, 30 September- Mahkamah Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada bekas ketua polis daerah Seoul selepas didapati bersalah dalam insiden rempuhan ketika sambutan perayaan Halloween sehingga mengorbankan lebih 150 orang, dua tahun lalu.

Menurut agensi berita Yonhap, bekas ketua polis daerah Yongsan itu, Lee Im-jae, didapati bersalah kerana gagal menghalang rempuhan terbabit, sebelum dijatuhi hukuman berkenaan oleh Mahkamah Daerah Barat Seoul.

"Sudah boleh dijangka bahawa terdapat sekumpulan besar orang di lorong di Itaewon, yang berisiko menyebabkan bahaya terhadap nyawa dan keselamatan fizikal ketika sambutan berkenaan," menurut keputusan mahkamah.

Insiden yang berlaku pada 29 Oktober 2022 itu menggemparkan masyarakat apabila ratusan terkorban ketika puluhan ribu orang menikmati perayaan Halloween di Itaewon.

Kebanyakan mangsa maut apabila dirempuh dan dihempap susulan keadaan sudah tidak terkawal sebaik sahaja mereka memasuki laluan sempit di antara bar dan kelab.

Sementara itu, seorang lagi bekas pegawai yang menjaga pusat kecemasan polis Yongsan dijatuhi hukuman penjara dua tahun atas tuduhan sama.

Mahkamah juga dijangka membuat satu lagi keputusan membabitkan pegawai tempatan Park Hee-young dan ketua pejabat Wad Yongsan, atas tuduhan sama.

Pada awal tahun ini, dua bekas pegawai kanan polis dijatuhi hukuman penjara kerana memusnahkan bukti yang dikaitkan dengan rempuhan itu, sekaligus menjadikan mereka pegawai pihak berkuasa pertama yang dijatuhkan hukuman berhubung insiden itu.

Bekas ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul, Kim Kwang-ho, juga dibicarakan dan sedang menunggu keputusan atas tuduhan kecuaian profesional yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.

Pendakwa raya memohon tempoh lima tahun hukuman, dengan keputusan dijangka diketahui bulan depan.

Kwang-ho menafikan sebarang salah laku dan memberitahu mahkamah pada April lalu bahawa langkah pencegahan sebenar harus dilakukan daripada menjadikan individu tertentu sebagai kambing hitam. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI