DUBAI, 30 September- Iran bertekad tidak akan membiarkan semua "tindakan jenayah" Israel dibiarkan tanpa sebarang pengadilan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani, berkata jaminan itu berikutan pembunuhan ketua Hezbollah dan timbalan komander Pengawal Iran di Lubnan.
Brigedier Jeneral Abbas Nilforoushan terbunuh dalam serangan Israel di Beirut pada Jumaat lalu, yang menyebabkan pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah, juga meninggal dunia.
"Kami berdiri teguh dan kami akan bertindak sehingga musuh menyesal," katanya pada sidang media.
Serangan intensif Israel terhadap Hizbullah di Lubnan dan Houthi di Yaman menimbulkan kebimbangan bahawa pertempuran di Asia Barat menjadi di luar kawalan sehingga mengheret Iran dan Amerika Syarikat (AS), iaitu sekutu utama Israel.
Pada masa sama, Nasser berkata, Iran tidak mahu mencetuskan perang tetapi tidak takut berdepan dengan kemungkinan itu.
Katanya, Iran sedang memantau perkara itu dengan pihak berkuasa Lubnan, dengan merujuk kepada serangan yang membunuh Nasrallah dan Nilforoushan.
Pada Ahad, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menyifatkan pembunuhan Nilforoushan oleh Israel sebagai "jenayah yang mengerikan".- REUTERS