HONG KONG, 23 September - Hong Kong menutup sekolah dan membatalkan ratusan penerbangan ketika Super Taufan Ragasa dijangka membadai pusat kewangan itu dengan kekuatan yang disifatkan pihak berkuasa antara paling dahsyat dalam sejarah bandar berkenaan.
Taufan berkelajuan maksimum 230 kilometer sejam itu turut memaksa pihak berkuasa China menutup sekolah dan perniagaan di sekurang-kurangnya 10 bandar di wilayah selatan, termasuk Shenzhen yang mengarahkan 400,000 penduduk dipindahkan.
Sebelum ini, Ragasa sudah mengorbankan seorang mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Filipina selain merosakkan rumah, menumbangkan pokok dan memaksa ribuan orang mencari perlindungan di pusat pemindahan.
Balai Pemerhati Hong Kong berkata isyarat amaran taufan tahap lapan, iaitu ketiga tertinggi, dikeluarkan semalam yang menyebabkan kebanyakan perniagaan serta pengangkutan dihentikan. Lebih 500 penerbangan Cathay Pacific dibatalkan, manakala operasi di lapangan terbang dijangka terganggu sehingga Rabu.
Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong, Eric Chan memberi amaran Ragasa mungkin menyamai tahap kemusnahan Super Taufan Hato pada 2017 dan Mangkhut pada 2018 yang masing-masing mengakibatkan kerugian ratusan juta dolar.
Penduduk setempat mula menutup premis, membeli barangan asas dan memasang penghadang banjir. Pihak berkuasa membuka 46 pusat pemindahan sementara untuk penduduk kawasan rendah yang berisiko dilanda banjir.
Di tanah besar China, bandar-bandar lain di Guangdong termasuk Chaozhou, Zhuhai, Dongguan dan Foshan turut melaksanakan langkah kecemasan, manakala pihak berkuasa Shenzhen menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah kecuali petugas kecemasan.
Menurut ramalan cuaca, Ragasa, yang diambil daripada perkataan Filipina bermaksud ‘gerakan pantas’, dijangka berada paling hampir dengan Hong Kong dan Macau pada pagi Rabu. Saintis memberi amaran ribut semakin kuat akibat perubahan iklim yang didorong oleh pemanasan global.-AFP