AUCKLAND, 23 September - Seorang wanita warga New Zealand didapati bersalah atas tuduhan membunuh dua anaknya sebelum menyembunyikan mayat mereka dalam bagasi, dalam kes yang mencetuskan perhatian antarabangsa.
Juri di Mahkamah Tinggi Auckland mencapai keputusan berkenaan selepas hanya dua jam bersidang, sekali gus menolak pembelaan bahawa tertuduh mengalami masalah kewarasan.
Hakyung Lee diekstradisi dari Seoul pada 2022 selepas mayat dua anaknya ditemui di dalam bagasi yang ditinggalkan di sebuah unit simpanan di selatan Auckland.
Kedua-dua mangsa, Yuna Jo, 8, dan Minu Jo, 6, dipercayai sudah meninggal dunia sejak tiga hingga empat tahun sebelum mayat mereka ditemui.
Sepanjang perbicaraan tiga minggu, Lee hanya duduk di antara penterjemah dan pengawal keselamatan dengan kepala tertunduk serta rambut menutupi wajah.
Walaupun secara teknikal mewakili dirinya sendiri, beliau tidak pernah bersuara sepanjang prosiding, manakala dua peguam lantikan mahkamah berhujah bagi pihaknya.
Peguam bela sebelum ini berhujah Lee tidak bersalah atas alasan tidak siuman, dengan mendakwa kematian suaminya pada 2017 menyebabkan tertuduh mengalami kemurungan serius. Namun pihak pendakwaan menegaskan Lee sedar sepenuhnya tindakannya.
Dengan keputusan itu, Lee berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup dengan tempoh parol minimum 10 tahun di bawah undang-undang New Zealand.-AFP