fb fb fb fb fb

Sepanyol mahu Palestin diterima anggota penuh PBB

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB di New York. Foto- AFP

WASHINGTON, 23 September - Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa supaya Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selepas menghadiri sidang kemuncak anjuran Perancis mengenai pengiktirafan negara itu.

“Persidangan ini menandakan satu detik bersejarah, namun ia bukan penamat jalan. Ia hanyalah permulaan,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB.

Beliau menegaskan proses kemasukan Palestin ke PBB perlu diselesaikan segera supaya kedudukannya setara dengan negara anggota lain.

“Negara Palestin mesti menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu. Proses untuk Palestin menyertai organisasi ini mesti diselesaikan secepat mungkin, sama rata dengan negara lain,” ujarnya.

Sanchez turut menggesa langkah segera diambil bagi menghentikan keganasan dan membuka laluan ke arah perdamaian.

Pemimpin berhaluan kiri itu merupakan antara pengkritik paling lantang terhadap operasi ketenteraan Israel di Gaza yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Pada Mei lalu, Sepanyol bersama Ireland dan Norway mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Bagaimanapun, Menteri Luar Israel, Gideon Saar menuduh Sanchez sebagai “antisemitik” dan “penipu” selepas pemimpin Sepanyol itu menyatakan sokongan kepada penunjuk perasaan pro-Palestin yang mengganggu perlumbaan berbasikal Vuelta di negara berkenaan.

Serangan terhadap Sanchez itu mendorong Sepanyol memanggil diplomat kanan Israel di Madrid untuk memberikan penjelasan.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN