fb fb fb fb fb

Dron misteri berlegar, paksa Lapangan Terbang Copenhagen ditutup

Foto Reuters

COPENHAGEN, 23 September- Lapangan Terbang Antarabangsa Copenhagen, yang merupakan lapangan terbang terbesar Denmark dan paling sibuk di rantau Nordik, ditutup selepas kelibat beberapa dron dikesan pada Isnin.

Polis dalam kenyataan memaklumkan lapangan terbang itu ditutup kepada semua pelepasan dan pendaratan sejak pukul 8.26 malam waktu tempatan, selepas dua hingga tiga dron besar dilihat berlegar di kawasan berkenaan.

Menurut penyedia data penerbangan FlightRadar, sekurang-kurangnya 35 penerbangan terpaksa dialihkan ke lapangan terbang lain manakala penerbangan yang dijadualkan berlepas sama ada ditunda atau dibatalkan.

Pihak pengurusan lapangan terbang dalam kenyataan di platform X mengesahkan masih terdapat dron yang tidak dikenal pasti di ruang udara berhampiran.

Polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dron berkenaan.

Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas penggodam mensasarkan sistem daftar masuk dan pelepasan milik Collins Aerospace, syarikat penyedia perkhidmatan penerbangan, sehingga menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Heathrow, Berlin dan Brussels. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM