COPENHAGEN, 23 September - Lapangan terbang di Copenhagen dan Oslo dibuka semula selepas ditutup beberapa jam berikutan kelibat dron tidak dikenali di ruang udara, yang menyebabkan penerbangan terpaksa dilencongkan serta gangguan perjalanan.
Di ibu negara Denmark, pihak polis memaklumkan beberapa dron bersaiz besar dikesan berlegar di ruang udara lapangan terbang selama beberapa jam pada malam Isnin, sebelum beredar dengan sendiri.
“Dron telah beredar dan lapangan terbang dibuka semula,” kata Timbalan Inspektor Polis, Jakob Hansen kepada pemberita.
Menurutnya, polis bekerjasama dengan tentera dan perkhidmatan risikan Denmark bagi mengenal pasti dari mana dron itu datang, selain turut berhubung dengan pihak berkuasa Norway selepas insiden sama memaksa penutupan lapangan terbang Oslo selama beberapa jam.
Jurucakap Lapangan Terbang Oslo, Monica Fasting berkata, terdapat dua kejadian berasingan melibatkan dron dan lapangan terbang berkenaan dibuka semula sekitar pukul 3.15 pagi (waktu tempatan).
Sepanjang tempoh penutupan, beberapa penerbangan dilencongkan ke destinasi berhampiran dan pihak berkuasa memberi amaran kelewatan serta gangguan jadual dijangka berlanjutan pada Selasa.
Kejadian itu berlaku susulan dakwaan kerajaan Poland, Estonia dan Romania bulan ini bahawa Rusia telah menceroboh ruang udara mereka, sesuatu yang dinafikan Moscow.
Ditanya sama ada dron yang dikesan di ruang udara Copenhagen berkemungkinan datang dari Rusia, Hansen berkata: “Kami tidak tahu buat masa ini.”-AFP