GENEVA, 23 September - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan pihak berkuasa Rusia menyeksa tahanan awam Ukraine di wilayah yang didudukinya secara meluas dan sistematik, termasuk melalui keganasan seksual.
Dalam laporan terbaharu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB mendapati sejak Rusia melancarkan pencerobohan penuh pada Februari 2022, tahanan awam Ukraine berdepan corak konsisten pencabulan serius undang-undang antarabangsa.
Hasil temu bual terhadap 216 tahanan awam yang dibebaskan sejak Jun 2023 mendapati 92 peratus daripada mereka memberi keterangan konsisten mengenai penderaan, termasuk pukulan dengan objek keras, kejutan elektrik, ugutan bunuh, penghinaan serta perlakuan seperti ejekan hukuman mati.
Laporan itu turut menyatakan ramai tahanan mengalami pelbagai bentuk penderaan secara serentak sepanjang dalam tahanan.
PBB menegaskan sehingga Mei 2025, Ukraine melaporkan sekitar 1,800 rakyat awam masih ditahan oleh Rusia, namun jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata ramai orang ditahan secara sewenang-wenangnya di jalanan di wilayah diduduki, dikenakan pertuduhan di bawah asas undang-undang yang berubah-ubah dan dipenjara selama berhari-hari hingga bertahun-tahun.
“Adalah penting hak asasi tahanan awam diberi keutamaan dalam sebarang rundingan damai,” katanya.
Dalam masa sama, laporan itu juga merekodkan beberapa kes penderaan dan layanan buruk terhadap tahanan awam oleh pihak berkuasa Ukraine.
Setakat akhir Julai, lebih 2,250 individu berkaitan konflik ditahan di kemudahan praperbicaraan dan penjara rasmi, kebanyakannya warganegara Ukraine sendiri yang berdepan tuduhan berkaitan keselamatan negara, termasuk pengintipan dan pengkhianatan.-AFP