DENPASAR, 23 September - Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU) memuktamadkan rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Indonesia-EU (CEPA), selepas hampir sedekad perbincangan.
Perjanjian yang ditandatangani Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maros Sefcovic dan Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto di Bali itu membuka peluang pelaburan dalam sektor strategik seperti kenderaan elektrik, elektronik dan farmaseutikal.
EU menganggarkan pengecualian tarif akan menjimatkan kira-kira 600 juta euro setahun kepada pengeksport blok tersebut, sekali gus menjadikan produk Eropah lebih murah di pasaran Indonesia.
Airlangga berkata, perjanjian itu penting bagi memberi kepastian ekonomi ketika dunia berdepan perang tarif dan dasar perlindungan. Beliau menyifatkan CEPA sebagai pencapaian besar selepas hampir 10 tahun rundingan.
Selepas berkuat kuasa, sekitar 80 peratus eksport Indonesia ke EU akan bebas tarif, termasuk minyak sawit, tekstil, perikanan dan kasut. Tahun lalu, nilai dagangan dua hala mencecah AS$30.1 bilion.
Bagaimanapun, isu alam sekitar kekal menjadi perhatian, susulan peraturan baharu EU yang melarang import produk berkaitan penebangan hutan selepas 2020. Aktivis bimbang perjanjian itu mendorong peningkatan penebangan hutan bagi memenuhi permintaan minyak sawit.
Perjanjian tersebut dijangka melalui proses ratifikasi sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang 2027.-AFP