fb fb fb fb fb

Seorang lagi wartawan terkorban dalam serangan Israel

Wafa Aludaini, wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel/ Foto: Sosial Media

GAZA CITY, 30 September- Seorang lagi wartawan Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah kematian membabitkan petugas media meningkat kepada 174, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan pejabat media kerajaan pada Isnin.

Mangsa terbaharu kekejaman Israel itu dikenal pasti sebagai Wafa Aludaini, menurut pejabat media itu tanpa memberikan butiran lanjut mengenai kejadian yang menyebabkan kematiannya.

Aludaini pernah bekerja dengan beberapa media berbahasa Inggeris.

Kenyataan itu turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel bertanggungjawab atas "jenayah terhadap wartawan."

Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lalu meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyeru gencatan senjata segera.

Sejak itu, hampir 41,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh manakala lebih 96,200 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Serangan Israel juga menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Gaza terpaksa berpindah, di tengah-tengah sekatan yang berterusan hingga mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata penduduk di Gaza kini hidup dalam keadaan yang "tidak berperikemanusiaan."

UNRWA melalui platform media sosial X memaklumkan timbunan sisa buangan semakin bertambah di tengah Gaza, sementara air kumbahan pula bocor ke jalan-jalan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

"Penduduk Gaza tiada pilihan selain tinggal bersebelahan dengan timbunan sisa ini, terdedah kepada bau busuk dan risiko bencana kesihatan," kata UNRWA.

Agensi PBB itu turut menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan.

Israel kini berdepan tuduhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza.- BERNAMA-AGENSI

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI