fb fb fb fb fb

Dua tentera cedera dalam insiden letupan berhampiran kediaman ketua daerah Tak Bai

Foto: BERNAMA/ Royal Thai Police

NARATHIWAT, 30 September- Dua anggota tentera cedera dalam insiden letupan bom kereta berhampiran kediaman rasmi Ketua Daerah Tak Bai, Narathiwat, di selatan Thailand pada Ahad.

Jurucakap Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri Bahagian Ke-4 (ISOC-4), Kol Akwarit Chobchuphon, berkata insiden yang berlaku sekitar 9.50 malam waktu tempatan itu turut memusnahkan lima rumah penduduk yang berdekatan.

Siasatan awal mendapati kereta yang digunakan dalam insiden itu dipercayai dicuri dan dipasang dengan bahan letupan, sebelum diparkir di pusat pemeriksaan keselamatan yang terletak berhampiran kediaman Ketua Daerah Tak Bai.

"Kenderaan curi itu diletupkan oleh empat lelaki bersenjata yang memakai topeng muka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.

Kol Akwarit turut memaklumkan bahawa kedua-dua anggota tentera yang sedang bertugas di pusat pemeriksaan terbabit mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Narathiwat Ratchanakarin untuk mendapatkan rawatan.

Mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI