KAHERAH, 20 Disember - Ketua Hamas Ismail Haniyeh tiba di ibu negara Mesir untuk melakukan rundingan mengenai gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan dengan Israel.
Menurut kenyataan kumpulan itu, Haniyeh, yang berpangkalan di Qatar, mengetuai delegasi “pimpinan tinggi” Hamas ke Mesir, di mana beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai Mesir serta beberapa perkara lain.
Sebelum ketibaannya di Kaherah, Haniyeh telah bertemu dengan Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian di Doha.
Sumber rapat kepada kumpulan pejuang Hamas berkata Haniyeh akan mengetuai delegasi Hamas ke Mesir, di mana beliau akan mengadakan perbincangan dengan ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel dan pemimpin yang lain.
Kunjungan Haniyeh itu bakal menjadi lawatan kali kedua beliau ke Mesir sejak permulaan perang pada 7 Oktober lalu, selepas lawatan pertamanya pada awal November lalu.
Pertemuan itu untuk membincangkan perjanjian yang akan menghentikan pencerobohan dan peperangan ke atas Gaza serta pembebasan tahanan.
Perkara itu dimaklumkan oleh sumber yang enggan mendedahkan namanya kerana tidak dibenarkan bercakap mengenai lawatan tersebut.
Selain itu, kumpulan Ziad Nakhaleh juga dijangka berada di Kaherah awal minggu depan untuk berbincang perkara yang sama.
Kedua-dua kumpulan itu menyiarkan video awal minggu ini yang menunjukkan beberapa orang tebusan masih ditahan di Gaza merayu agar Israel mendapatkan pembebasan mereka.
Lewat malam tadi, kumpulan Jihad Islam berkongsi rakaman video menunjukkan dua tebusan yang masih hidup dan berada dalam tahanan di Gaza.
Perjanjian gencatan senjata yang bertahan selama seminggu pada bulan lalu, disokong Mesir dan Amerika Syarikat (AS), selain dibantu Qatar.
Seramai 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran membabitkan 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel. - AFP
ARTIKEL BERKAITAN
Ketua Hamas ke Mesir bagi rundingan gencatan senjata
Hamas siar video tiga tebusan warga emas selepas Israel isytihar mereka mati
Tebusan tidak dibebaskan selagi tuntutan tidak dipenuhi -Hamas