GAZA, 20 Disember- Ketua Hamas, Ismail Haniyeh sedia melawat Mesir hari ini untuk rundingan mengenai gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan dengan Israel, kata sumber terdekat dengan kumpulan pejuang Palestin itu.
Haniyeh, yang berpangkalan di Qatar, akan mengetuai delegasi Hamas "pimpinan tertinggi" ke Mesir, yang mana beliau akan mengadakan perbincangan dengan ketua perisikan Mesir Abbas Kamel dan pihak lain, menurut sumber itu kepada AFP semalam.
"Perbincangan itu akan "menghentikan pencerobohan dan perang serta menyediakan perjanjian bagi pembebasan tawanan dan pengakhiran kepungan berterusan terhadap Semenanjung Gaza," kata sumber itu.
Perjanjian gencatan senjata selama seminggu bulan lalu ditengahi Qatar dengan disokong oleh Mesir dan Amerika Syarikat.
Seramai 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran melibatkan 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Menurut sumber Hamas, rundingan di Mesir akan memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan kemanusiaan, pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan pemindahan semula penduduk yang dipindahkan ke bandar dan kampung di bahagian utara.
Kunjungan Haniyeh itu akan menjadi kunjungan kedua beliau ke Mesir sejak permulaan perang pada 7 Oktober lalu, selepas lawatan pertamanya pada awal November lepas.
Laman berita AS Axios melaporkan pada hari Isnin Ketua Perkhidmatan Perisikan Mossad, David Barnea bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al Thani dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns di Eropah untuk membincangkan perjanjian baharu yang berpotensi bagi membebaskan tebusan.
Semalam, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau menghantar Ketua Mossad ke Eropah sebanyak dua kali untuk mempromosikan proses pembebasan tebusan mereka.
"Tugas saya adalah untuk membawa mereka semua kembali," katanya dalam satu kenyataan.
Ketika bertemu keluarga tebusan semalam, Netanyahu berkata, 'menyelamatkan mereka adalah tugas yang amat besar'.
Lewat malam tadi, kumpulan Jihad Islam berkongsi rakaman video menunjukkan dua tebusan yang masih hidup dan berada dalam tahanan mereka di Gaza.
Tebusan terbabit dibawa ke wilayah itu ketika serangan dilancarkan Hamas ke atas Israel, 7 Oktober lalu.- AFP