fb fb fb fb fb

Tebusan tidak dibebaskan selagi tuntutan tidak dipenuhi -Hamas

FOTO AFP

SEMENANJUNG GAZA , 11 Disember- Kumpulan pejuang Hamas memberi amaran semalam bahawa tiada tebusan akan dibebaskan melainkan tuntutan mereka untuk pembebasan tahanan keturunan Palestin dari penjara Israel dipenuhi.

Gencatan senjata selama seminggu pada 1 Disember menyaksikan 105 tebusan yang ditahan oleh kumpulan itu dibebaskan, termasuk 80 warga Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin.

Israel pada Sabtu berkata 137 tawanan kekal di wilayah Palestin.

Pengantara Qatar berkata bahawa usaha untuk mendapatkan gencatan senjata baharu dan membebaskan lebih banyak tebusan sedang dijalankan tetapi memberi amaran bahawa pengeboman berterusan Israel menyukarkan usaha ke arah itu.

Jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Obeida berkata kumpulan itu akan terus memerangi tentera Israel.

“Kami tiada pilihan selain memerangi penjajah biadab ini di setiap kawasan kejiranan, jalan dan lorong.

"Kemusnahan musuh bertujuan untuk mematahkan kekuatan perlawanan kita... tetapi kita berjuang di tanah kita dalam pertempuran suci," kata Obeida.

Peperangan di Gaza tercetus selepas Hamas melakukan serangan mengejut dan meninggalkan kesan paling dahsyat ke atas Israel pada 7 Oktober, dengan kira-kira 1,200 orang terkorban, menurut angka Israel, dan menahan kira-kira 240 tebusan ke Gaza.

Dalam serangan balas udara, darat dan laut Israel terhadap Hamas di Semenanjung Gaza, sekurang-kurangnya 17,700 orang, kebanyakannya juga orang awam, telah terbunuh, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah itu.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sistem kesihatan di wilayah itu hampir tidak berfungsi selepas lebih dua bulan perang.

Kumpulan bantuan memberi amaran Gaza berada di ambang penyakit dan kebuluran, manakala Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam Majlis Keselamatan kerana gagal bersetuju untuk gencatan senjata.

"Sistem kesihatan Gaza semakin tenat dan sedang musnah," kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata, hanya 14 daripada 36 hospital masih memberi perkhidmatan di Gaza, setakat keupayaan mereka.

Lembaga eksekutif WHO pada Ahad bersetuju menggesa penyaluran bantuan segera tanpa halangan memasuki Gaza.

PBB menganggarkan 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, kira-kira separuh daripada mereka kanak-kanak, dengan ramai bergerak menuju ke selatan berikutan tiada lagi tempat tinggal.

Wartawan AFP melawat Hospital Al-Shifa di Gaza yang dibom dan mendapati sekurang-kurangnya 30,000 orang berlindung di tengah-tengah runtuhan, selepas tentera Israel menyerbu kemudahan perubatan itu bulan lalu. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI