fb fb fb fb fb

Patrick Herminie angkat sumpah sebagai Presiden keenam Seychelles

Presiden keenam Seychelles, Patrick Herminie/ REUTERS

VICTORIA, 27 Oktober – Patrick Herminie mengangkat sumpah sebagai Presiden keenam Seychelles pada Ahad, selepas menewaskan penyandang, Wavel Ramkalawan dalam pilihan raya presiden pusingan kedua.

Herminie meraih 52.7 peratus undi, sekali gus mengembalikan Parti United Seychelles kepada penguasaan penuh pentadbiran negara.

Parti itu turut merampas semula majoriti Parlimen bulan lalu, menamatkan kemerosotan sejak tahun 2015.

Dalam kempennya, Herminie menegaskan agenda memerangi rasuah serta berjanji akan mengkaji semula beberapa dasar diperkenalkan pentadbiran terdahulu.

Antara janjinya termasuk membatalkan projek pembinaan hotel yang dibantah pencinta alam sekitar kerana didakwa mengancam atol terumbu karang tersenarai UNESCO, menurunkan umur persaraan daripada 65 kepada 63 tahun, dan melaksanakan syor Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian berhubung salah guna kuasa pasca rampasan kuasa 1977.

Seychelles, negara kepulauan terdiri daripada 115 pulau di Lautan Hindi merupakan antara negara terkaya Afrika dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, serta menjadi tumpuan pelancongan dan pelaburan asing.

Namun, ia berdepan cabaran ketagihan heroin yang tinggi dan ancaman perubahan iklim.

Herminie pernah berkhidmat sebagai Speaker Parlimen antara tahun 2007 hingga 2016 dan pernah ditahan pada 2023 atas dakwaan melibatkan amalan sihir, namun tuduhan itu kemudian digugurkan. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN