fb fb fb fb fb

4 Maut ketika protes di Douala, Cameroon

Foto AFP

DOUALA, 27 Oktober – Empat orang maut dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penyokong pembangkang ketika protes di bandar Douala.

Menurut pihak berkuasa tempatan, keganasan tercetus apabila penyokong calon pembangkang Issa Tchiroma, mendakwa berjaya menewaskan Presiden Paul Biya dalam pilihan raya baru-baru ini.

Beliau dan penyokong telah mengingkari larangan perhimpunan dan turun ke jalan raya bagi memberi tekanan politik menjelang pengumuman rasmi keputusan hari ini.

Menurut Gabenor Wilayah Littoral, Samuel Dieudonne Ivaha Diboua, kumpulan perusuh telah menyerang balai gendarmerie Nkoulouloun serta dua balai polis awam di daerah ke-2 dan ke-6 Douala.

“Beberapa anggota keselamatan cedera dan malangnya empat orang telah terkorban dalam insiden tersebut,” katanya.

Ketegangan politik di Cameroon semakin meningkat sejak pilihan raya berlangsung, dengan pihak pembangkang menuduh kerajaan melakukan penyelewengan dan menuntut agar keputusan pilihan raya dibatalkan.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN