WASHINGTON, 27 Oktober – Dua pesawat milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) terhempas dalam dua insiden berasingan di Laut China Selatan pada Ahad.
Menurut kenyataan rasmi tentera AS, kejadian pertama melibatkan sebuah helikopter MH-60R Sea Hawk yang dilaporkan terhempas ketika menjalankan operasi rutin dari kapal pengangkut pesawat USS Nimitz.
Manakala sebuah lagi pesawat jenis Boeing F/A-18F Super Hornet turut terhempas di perairan sama ketika melakukan operasi rutin dari kapal yang sama setengah jam kemudian. Tiada kematian dilaporkan.
“Ketiga-tiga kru berjaya diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat. Kedua-dua juruterbang juga berjaya keluar menggunakan kerusi lontar dan telah diselamatkan serta berada dalam keadaan stabil," menurut kenyataan tersebut.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kedua-dua insiden tersebut yang berlaku ketika Presiden AS Donald Trump sedang melakukan lawatan pertamanya ke Asia dalam penggal kedua pentadbirannya.