PORT OF SPAIN, 27 Oktober – Venezuela kecam kehadiran kapal perang USS Gravely milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Trinidad dan Tobago yang disifatkan sebagai satu bentuk provokasi ketenteraan yang boleh mencetuskan konflik di rantau Caribbean.
Dalam satu kenyataan, kerajaan Venezuela turut mendakwa Trinidad dan Tobago bersekongkol dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) bagi mencetuskan huru hara di rantau berkenaan.
Sementara itu, reaksi penduduk di Port Of Spain dilihat bercampur-baur apabila rata-rata menyatakan kebimbangan negara mereka akan turut terheret dalam konflik serantau selepas menyatakan solidariti kepada Washington dalam kempen Presiden AS Donald Trump terhadap aktiviti penyeludupan dadah di Amerika Latin.
Ketegangan meningkat sejak Jumaat lalu selepas Pentagon menghantar kapal pengangkut pesawat terbesar dunia, USS Gerald R. Ford, ke kawasan Caribbean.
Sejak September, pasukan AS dilaporkan telah memusnahkan sekurang-kurangnya 10 bot penyeludup dadah serta mengorbankan 43 individu.