fb fb fb fb fb

Gas pemedih mata, tahanan pembangkang cetus ketegangan menjelang keputusan pilihan raya Cameroon

Polis antirusuhan menggunakan gas pemedih mata dan semburan air untuk menyuraikan protes pembangkang yang menuntut peralihan politik di Garoua, Cameroon/ REUTERS

DOUALA, 27 Oktober – Pihak berkuasa Cameroon menahan kira-kira 30 ahli politik dan aktivis yang dikaitkan dengan calon pembangkang, Issa Tchiroma, sekali gus mencetuskan ketegangan menjelang pengumuman rasmi keputusan pilihan raya presiden pada Isnin berhubung pengundian 12 Oktober lalu.

Menurut kempen Tchiroma, antara yang ditahan termasuk ketua Parti MANIDEM, Anicet Ekane serta tokoh gerakan Union for Change, Djeukam Tchameni yang kedua-duanya menyokong pencalonannya dalam perebutan jawatan tertinggi negara itu.

Penahanan tersebut berlaku ketika pertembungan antara penyokong Tchiroma dan pasukan keselamatan semakin memuncak di beberapa kawasan di negara pengeluar koko dan minyak itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Tchiroma menyeru penyokongnya supaya meneruskan demonstrasi aman di seluruh negara bermula pukul 2 petang waktu tempatan pada Ahad, sebagai membantah apa yang didakwanya sebagai proses pilihan raya yang tidak telus.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai siri penahanan dan penggunaan gas pemedih mata bagi menyuraikan protes yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Keputusan rasmi pilihan raya dijangka menentukan sama ada Presiden Paul Biya, 92, akan mengekalkan penguasaan lebih empat dekad terhadap tampuk pemerintahan Cameroon. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN