PORT ROYAL, 27 Oktober – Penduduk di bandar pesisir bersejarah Port Royal pada Ahad sibuk melakukan persiapan rapi ketika Taufan Melissa bergerak menghampiri Jamaica, dengan kebimbangan terhadap risiko banjir dan ombak besar.
Beberapa lelaki dilihat menarik bot nelayan keluar dari marina serta meletakkan blok simen di atas bumbung, manakala yang lain mengukuhkan tingkap dan pintu dengan guni pasir serta papan kayu.
Polis tempatan turut mengadakan tinjauan sambil memberi peringatan kepada penduduk di kawasan rendah itu.
Walaupun diberi amaran, sebahagian penduduk memilih untuk kekal.
“Tidak, setiap tahun saya di sini. Saya tidak bimbang apabila taufan datang,” ujar Douglas Butler, seorang kapten bot tempatan. “Saya hanya bertenang. Asalkan ada makanan, itu yang paling penting.”
Bagaimanapun, penduduk lain seperti Edgerton Brown yang dilahirkan dan dibesarkan di Port Royal meluahkan kebimbangan mengenai paras air, namun tetap yakin terhadap perlindungan alam.
“Air itu membimbangkan,” katanya. “Tetapi kami ada terumbu karang yang hebat di luar sana untuk melindungi pantai. Jika berlaku limpahan ombak, terumbu itu akan memecahkan arus.”
Pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlaku banjir buruk dan lonjakan ombak besar apabila Taufan Melissa dijangka mencapai sehingga kategori lima dengan kelajuan angin melebihi 155 batu sejam ketika ia semakin menghampiri pesisir selatan Jamaica. -REUTERS