fb fb fb fb fb

Jerman lupus 130,000 itik, ayam susulan wabak selesema burung

Itik-itik di sebuah ladang ternakan di Neuhardenberg, Jerman dipindahkan untuk proses pelupusan susulan penularan wabak selesema burung/ REUTERS

NEUHARDENBERG, 27 Oktober – Pihak berkuasa di timur Jerman pada Ahad meningkatkan langkah kawalan susulan penularan wabak selesema burung yang memaksa 130,000 ternakan termasuk ayam dan itik dilupuskan.

Jurucakap daerah Maerkisch-Oderland, Johanna Seelig berkata keputusan itu diambil selepas sampel ujian positif dikesan pada ternakan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 50,000 ayam pedaging dan 80,000 itik akan dilupuskan dalam tempoh kira-kira dua hari.

Wabak selesema burung ketika ini dilaporkan merebak dengan cepat di Eropah, dengan bilangan negara yang mencatatkan kes awal berada pada tahap tertinggi dalam tempoh sedekad.

Situasi tersebut mencetuskan kebimbangan kemungkinan berulangnya krisis terdahulu yang menyaksikan puluhan juta unggas dilupuskan serta berlakunya peningkatan harga makanan.

Risiko jangkitan kepada manusia masih rendah, namun kebanyakan kes yang pernah direkodkan melibatkan kontak rapat dengan haiwan dijangkiti.

Pakar menegaskan bahawa virus ini perlu dipantau rapi berikutan penularannya yang semakin meluas kepada spesies mamalia.

Pihak berkuasa tempatan dijangka terus mengetatkan langkah biosekuriti dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN