fb fb fb fb fb

Kesatuan petani India bantah tarif tambahan AS

Foto VIORY

GREATER NOIDA, 14 Ogos - Kumpulan perdagangan dan kesatuan petani di India mengadakan perarakan traktor di Greater Noida, pada Rabu, bagi membantah dasar pertanian negara.

Mereka turut memprotes keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif tambahan 25 peratus terhadap barangan India susulan pembelian berterusan minyak Rusia oleh New Delhi.

Rakaman memaparkan penunjuk perasaan berarak sambil mengibarkan bendera dan melaungkan slogan, termasuk “hidup tentera, hidup petani”.

Menurut Ahli Kesatuan Petani, Sudharshan Kuleshra, tarif itu menyebabkan petani hanya memperoleh 50 peratus keuntungan, manakala bakinya diambil AS sebagai cukai import.

Beliau turut mendakwa hubungan diplomatik antara India dan AS berada pada tahap sangat buruk, selain menuduh Perdana Menteri Narendra Modi menipu rakyat.

“Beliau (Modi) pembohong. Beliau tidak memberi perhatian kepada rakyat negaranya,” katanya di sini.

Seorang lagi ahli kesatuan, Manoj Mawi, berpandangan rundingan perdagangan yang sedang berlangsung antara kerajaan dan Washington boleh memusnahkan sektor pertanian, dengan ternakan serta akuakultur menjadi paling terjejas.

“Jika pertanian AS masuk ke pasaran India, petani tempatan akan hancur,” tegasnya, sambil menuduh sebahagian petani sebagai "penyokong membuta tuli" yang tidak menyedari kesannya.

Kesatuan berkenaan menegaskan 750 juta rakyat India bergantung kepada pertanian, dengan petani kecil dan sederhana paling berisiko.

Pemimpin protes berkata mereka akan meneruskan demonstrasi sehingga perjanjian yang dicadangkan dengan Washington dibatalkan.

Kumpulan petani turut menggesa rakyat memboikot minuman ringan keluaran AS dan beralih kepada produk tempatan.

Tarif AS terhadap India kini mencecah 50 peratus, meliputi hampir separuh daripada eksport negara bernilai AS$87 bilion, termasuk tekstil, batu permata dan makanan laut, sekali gus mengancam pekerjaan dalam sektor yang menggaji 45 peratus tenaga kerja negara.

Walaupun lima pusingan rundingan perdagangan sebelum ini gagal, perbincangan dijadual bersambung pada 25 Ogos ini, dengan India menegaskan sektor pertanian, tenusu dan tanaman ubah suai genetik (GM) kekal di luar meja rundingan untuk dikenakan levi. -VIORY

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM