NEW DELHI, 30 Julai - Keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan 25 peratus tarif ke atas import dari India bermula 1 Ogos sedikit mengecewakan negara tersebut.
Kekecewaan itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Pertubuhan Eksport India, Ajay Sahai.
Jelas beliau, Trump turut mengumumkan hukuman ke atas New Delhi, namun tidak menjelaskan bentuk atau jumlahnya.
"Tarif 25 peratus ke atas India sedikit mengecewakan kami. Kami terlibat secara konstruktif dengan Amerika mengenai BTA (Perjanjian Perdagangan Dua Hala). Kami juga tidak pasti apakah penalti tambahan yang dibincangkannya", katanya.
Kementerian Perdagangan India ketika ini masih berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atas pengumuman Trump tersebut.
Keputusan Washington itu didakwa menghancurkan harapan perjanjian perdagangan terhad antara kedua-dua negara yang telah dirunding selama beberapa bulan terdahulu.
Tarif baharu tersebut dijangka memberi kesan kepada eksport barangan India ke Amerika, antaranya pakaian, produk farmaseutikal, permata dan barang kemas serta petrokimia.
Amerika kini mempunyai defisit perdagangan $45.7 bilion dengan India.-REUTERS