NEW DELHI, 9 Ogos - Tarif import sehingga 50 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan dari India, dijangka memberi kesan besar kepada sektor pembuatan negara itu. Ini termasuk tekstil, permata dan barang kemas serta komponen automotif.
Menurut Moody’s Ratings, langkah yang berkuat kuasa 21 hari selepas 7 Ogos itu dibuat susulan import berterusan minyak Rusia oleh India. Tarif baharu tersebut menjadikan kadar duti terhadap sesetengah barangan India antara tertinggi pernah dikenakan ke atas rakan dagang AS.
AS merupakan pasaran terbesar bagi permata dan barang kemas India dengan nilai eksport mencecah AS$10 bilion (RM45.9 bilion) pada tahun lalu. Majlis Promosi Eksport Permata dan Barang Kemas India memberi amaran bahawa industri itu berisiko lumpuh memandangkan negara pesaing seperti Turki dan Vietnam dikenakan tarif lebih rendah.
“Sekarang tarif dikenakan… ia memberi kesan besar kepada bahagian pembuatan kami… kos meningkat lebih 50 peratus… sangat sukar untuk mengendalikan perniagaan ketika ini,” kata Zalak Savani, rakan kongsi Savani Diamond.
Sektor tekstil dan pakaian yang mengeksport barangan bernilai lebih AS$2 bilion (RM9.2 bilion) ke AS pada 2024 turut menerima tekanan daripada pelanggan susulan kenaikan tarif tersebut.
Bagi sektor komponen automotif, cukai tinggi akan dikenakan terhadap bahagian kenderaan komersial bernilai sekitar AS$3 bilion (RM13.8 bilion), manakala komponen untuk kereta dan trak kecil dikenakan tarif 25 peratus.