JAKARTA, 9 Ogos - Negara-negara anggota ASEAN berusaha mengekalkan pendirian berkecuali, menggalakkan diplomasi dan mempercepatkan usaha kemampanan di tengah ketegangan global yang semakin memuncak serta cabaran alam sekitar, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn pada Jumaat, lapor Xinhua.
Berucap pada Sambutan Hari ASEAN ke-58 bertemakan “Ke Arah Masa Depan ASEAN yang Inklusif dan Mampan” di Pejabat Sekretariat ASEAN di Jakarta, Kao menegaskan bahawa prinsip berkecuali dan komitmen ASEAN terhadap dialog boleh menjadi kuasa penstabil dalam dunia kini.
“Dalam masa yang tidak menentu, kita mesti kekal sebagai kuasa yang stabil dan menjadi penstabil, menyediakan ruang untuk dialog jujur, kerjasama praktikal dan berkecuali secara berprinsip, di mana perbezaan dapat dirapatkan dan penyelesaian dapat dicapai.
“Walaupun berdepan ketegangan di rantau sendiri, kita berpegang pada keyakinan bahawa diplomasi dan dialog adalah jalan menuju keamanan berkekalan,” katanya.
Kao berkata, selain isu geopolitik, rantau ini turut berdepan cabaran alam sekitar yang mendesak.
Perubahan iklim, bencana alam dan kekurangan sumber sudah memberi kesan mendalam kepada negara-negara ASEAN.
Bagi menangani cabaran itu, ASEAN sedang melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk kerjasama jangka panjang menangani jerebu rentas sempadan, penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Brunei Darussalam, pembangunan Rangkaian Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid), serta mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
“Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan tekad yang semakin kukuh untuk menghadapi krisis iklim secara bersama.
"Kemampanan juga merangkumi daya tahan ekonomi, kepelbagaian rantaian bekalan, peningkatan keselamatan makanan dan tenaga, serta pembinaan infrastruktur hijau dan pintar yang akan menyokong generasi akan datang,” katanya.
Mewakili Presiden Prabowo Subianto pada sambutan itu, Menteri Luar Indonesia Sugiono mengulangi komitmen Indonesia untuk memperkukuh ASEAN sebagai rantau yang aman, berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa perpaduan adalah kunci kekuatan ASEAN di tengah persaingan geopolitik semasa, sambil menekankan bahawa pertikaian mesti diselesaikan melalui dialog dan diplomasi. - BERNAMA