ADDIS ABABA, 9 Ogos - Angka kematian akibat wabak MPOX yang sedang melanda Afrika telah melebihi 1,900 sejak awal 2024, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) pada Khamis, lapor Xinhua.
Dalam taklimat media dalam talian, Ketua Staf dan Ketua Pejabat Eksekutif Africa CDC Ngashi Ngongo, berkata sebanyak 27 negara Afrika yang terjejas oleh mpox melaporkan 174,597 kes dengan 1,922 kematian sejak awal tahun lalu.
“Apabila kita membandingkan data tahun lalu dan tahun ini, kita merekodkan 94,300 kes, iaitu 117 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan tahun lalu.
Bagi kes yang disahkan, kita mempunyai 29,084 kes (tahun ini) berbanding 19,713 kes (tahun lalu),” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan benua itu mencatat penurunan berterusan dalam kedua-dua kes disahkan dan disyaki dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Peningkatan liputan ujian turut dianggap perkembangan positif dalam usaha memerangi penyakit itu. - BERNAMA