NEW YORK, 28 Ogos – 14 daripada 15 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menyifatkan kebuluran yang sedang berlaku di Gaza sebagai satu "krisis buatan manusia", sambil memberi amaran bahawa penggunaan kebuluran sebagai senjata perang adalah dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dalam satu kenyataan bersama, kesemua anggota Majlis Keselamatan PBB kecuali Amerika Syarikat menyeru agar gencatan senjata yang serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan dilaksanakan.
Kenyataan itu turut menuntut pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas, peningkatan ketara bantuan kemanusiaan ke seluruh Gaza, serta desakan agar Israel segera dan tanpa syarat menarik balik semua sekatan ke atas penghantaran bantuan.
“Penggunaan kebuluran sebagai alat peperangan bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah jelas melanggar undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Gesaan tegas ini mencerminkan kebimbangan mendalam masyarakat antarabangsa terhadap kemerosotan situasi kemanusiaan di Gaza, yang kini mencatatkan angka kebuluran dan perpindahan penduduk yang amat membimbangkan.
Laporan terkini oleh Sistem Pengelasan Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mendedahkan bahawa Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya kini secara rasmi mengalami kebuluran, dan keadaan itu dijangka merebak.
Menurut laporan tersebut, seramai 514,000 penduduk iaitu hampir satu per empat daripada jumlah rakyat Palestin di Gaza sedang mengalami kebuluran.
Angka itu dijangka meningkat kepada 641,000 menjelang akhir September.
Namun, Israel menolak dapatan itu dan meminta IPC menarik balik penilaian mereka kerana mereka mendakwa laporan tersebut sebagai tidak tepat dan berat sebelah.
Rejim itu berkata penilaian tersebut dibuat berdasarkan data yang tidak lengkap, yang sebahagian besarnya dibekalkan oleh Hamas, tanpa mengambil kira kemasukan bantuan makanan yang terkini. - REUTERS